Tuesday, July 22, 2008

AKTA PENDIDIKAN 1996 (AKTA 550), AKTA PENDIDIKAN (PINDAAN) 2002.

Objektif

Meneliti dan membincangkan kandungan Akta Pendidikan 1996, Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 dan peraturan-peraturan berkaitan

Menyatakan implikasi AP 1996 terhadap pengurusan sekolah

Menyatakan kepentingan AP 1996 sebagai alat untuk membantu pembuatan keputusan

Saturday, July 19, 2008

Wawasan 2020

Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.
Matlamat utama
Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:
1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.
Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa berkenaan.
Adakah matlamat menjadi negara maju dari segi ekonomi itu realistik?
Pada dekad 1960-an, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar purata sebanyak 5.1% setahun. Pertumbuhan purata ini dinaikkan menjadi 7.8% semasa dekad pertama Dasar Ekonomi Baru dalam dekad 1970-an, dan 5.9% setahun pada dekad 1980-an, akibat kemelesetan bertahun-tahun. Pertumbuhan KDNK pada 30 tahun tersebut dalam nilai sebenar adalah pada kadar purata 6.3 peratus setahun, dengan kadar pada 20 tahun yang lalu merupakan 6.9 peratus setahun pada puratanya. Oleh itu, yang diperlukan ialah tambahan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus untuk mencapai matlumat ekonomi Wawasan 2020i, sesuatu matlamat yang bukannya tidak mungkin.
KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah $115 bilion, dengan sasaran kira-kira $920 bilion dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990) menjelang tahun 2020. Pertumbuhan pesat ini memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun akan datang. Jika ini dapat dicapai, dan diandaikan kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah 2.5%, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar), berbanding dengan tahun 1990. Inilah ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh Wawasan 2020. Dengan itu, KDNK Malaysia akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990.



Itulah saja yang mampu i hantar hari ini....Server i lembab dan lambat betul malam ni..boring i tunggu untuk upload...Walau bagaimanapun saya akan cuba cari nota lagi untuk tatapan kita semua....semoga paparan kali ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya...semoga anda berjaya mengharungi ujian PTK tak lama lagi kan...

Pra Sekolah

Wawasan pendidikan negara menjurus untuk melahirkan guru yang bertaraf dunia dn bestari.Oleh itu kurikulum Pengajian Prasekolah ini digubal untuk menyediakan guru prasekolah yang profesional dan berketrampilan bagi menyahut cabaran tersebut.Di samping pemupukan nilai-nilai murni, insan guru yang dilatih perlu beranjak ke arah guru yang mengamalkan budaya berfikir secara kritis,kreatif dan inovatif,serta berliterasi teknologi.Dengan itu guru-guru yang dilatih akan dapat melahirkan generasi yang mampu menempuh cabaran dunia global dan era teknologi maklumat.
RASIONAL
Kanak-kanak merupakan aset negara yang perlu dipupuk dan dicema supaya menjadi warganegara yang dapat mendukung wawasan negara.Setiap kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mendapat pendidikan diperingkat prasekolah.
Kegagalan menyediakan peluang pendidikan dan memperkembangkan potensi mereka sudah pasti merugikan dan memjejaskan masa depan negara.
MATLAMAT
Sukatan Pelajaran Pengajian Prasekolah digubal untuk Kursus Diploma Perguruan Malaysia (DPM) mempunyai matlamat bagi melahirkan guru-guru prasekolah yang:

• berakhlak mulia dan bersikap positif;
• berkemahiran melayani keperluan dan perberzaan kanak-kanak;
• berpengetahuan tentang;
o kandungan kurikulum
o kemahiran pedagogi
o kemahiran ikthisas
o kemahiran Teknologi Maklumat;
• mengamalkan pembelajaran kendiri,tahap kendiri dan akses kendiri;
• berwawasan dan berusaha untuk meningkatkan profesionalisme; dan
• beriltizam mrncapai hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan 2020.
OBJEKTIF
1. menghayati Falsahah Pendidikan Negara dan hubungkaitnya dengan
Matlamat Pendidikan Prasekolah
2. memahami prinsip dan proses pertumbuhan dan perkembangan
kanak-kanak prasekolah serta kaitannya dengan proses pengajaran dan
pembelajaran
3. menguasai kemahiran,pendekatan,strategi,kaedah dan teknik dalam
Pendidikan Prasekolah berteraskan bermain sambil belajar
4. mengelola dan mengendalikan program dan aktiviti prasekolah selaras
dengan keperluan kanak-kanak dan persekitaran pembelajaran mereka
5. memainkan peranan sebagai penghubung antara sekolah dan rumah
dengan berkesan
6. melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Prasekolah dan
menyediakan kanak-kanak ke Tahap 1 sekolah rendah
7. membentuk insan guru yang bestari,profesional dan berketrampilan
menggunakan teknologi maklumat
8. mengamalkan budaya berfikir secara global,proaktif,reflektif,kreatif
dan inovatif
9. mempraktikkan budaya kerja secara kolaboratif dan kooperatif

STRATEGI PELAKSANAAN KURSUS
PENGAJIAN PRASEKOLAH.
Dalam menyediakan guru prasekolah bestari peranan pensyarah adalah sebagai "pembimbing di sisi " dan bukan sebagai " pendeta di atas pentas "
Para pensyarah digalakkan mengguna strategi pengajaran dan pembelajaran berikut untuk memyampaikan kandungan kursus:

• tunjukcara
• main peranan
• ' electronic search '
• sumbangsaran
• seminar
• bengkel
• forum
• pengajaran melalui modul
• pengajaran akses kendiri
• ' video conferencning '
• pengajaran mikro
• pengajaran berbantukan komputer ( CAI)
• pembelajaran rakan sebaya
• internet
• E-mail
Selain itu,disarankan juga strategi pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara bersepadu dan berfokus kepada pelajar berdasarkan :

• pembelajaran kendiri ( self-directed learning)
• pembelajaran tahap kendiri (self-paced learning)
• pembelajaran akses kendiri(self-accessed learning)

KEDUDUKAN DAN TARAF BAHASA

Kedudukan dan taraf Bahasa Melayu dapat dilihat dengan mengkaji perkembangannya melalui pendidikan. Dalam tahun 1950, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris telah membentuk sebuah suruhanjaya untuk mengkaji soal pelajaran di Malaysia. L.J. Barnes, Pengarah Latihan Kemasyarakatan di Univeristy of Oxford telah mengetuai suruhanjaya berkenaan.

Usul pertama ialah supaya pendidikan sekolah rendah dapat membangunkan rasa kebangsaan, dengan cara membentuk sekolah-sekolah rendah berbilang kaum yang dikenali sebagai sekolah kebangsaan. Sistem pelajarannya bertujuan memberi pendidikan pelajaran rendah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Usul itu mengesyorkan supaya dihapuskan sekolah-sekolah yang pelbagai corak dan bahasa supaya menjadi satu jenis sekolah yang umum bagi semua penduduk.

Suratkhabar Cina dengan keras membidas Laporan Barnes ini. Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris pada tahun 1951 telah membentuk sebuah suruhanjaya yang mengkaji soal pelajaran Cina. Anggota-anggotanya terdiri daripada W.P. Fenn, seorang ahli pendidikan Amerika dan Cina dan Wu Teh Yao, seorang ahli dari Jabatan Pelajaran Bangsa-Bangsa Bersatu. Laporan itu dikenali sebagai Laporan Fenn-Wu. Keseluruhan Laporan Fenn-Wu itu banyak menunjukkan rasa simpati pada pendidikan dan pengajaran Bahasa Cina. Bagaimanapun, Laporan Fenn-Wu menyetujui Bahasa Melayu dan Inggeris dimasukkan ke dalam pelajaran sekolah-sekolah Cina.

Laporan Barnes dan Fenn-Wu dikaji oleh sebuah Jawatankuasa Pusat Penasihat Pendidikan yang terdiri dari 20 orang ahli pelajaran, pegawai pemerintah dan ahli luar yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Jawatankuasa tersebut ditugaskan mencari jalan tengah, bagaimana kerajaan dapat melaksanakan perakuan daripada Laporan Barnes dan Fenn-Wu. Mereka berpendapat murid-murid dari sekolah rendah akan diajar Bahasa Melayu dan Inggeris tetapi anak-anak Cina dan India akan diberikan bahasa Kuo Yu dan Tamil. Bahasa pengantar di sekolah-sekolah hendaklah Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib yang dibuat selepas itu lebih jelas menentukan kedudukan Bahasa Melayu. Ia menjadi asas bahasa pengantar yang tinggal dalam sistem pendidikan Malaysia.

Selepas tahun 1970, dasar ini dijalankan dengan lebih giat dan teratur, maka semua sekolah rendah aliran Inggeris telah menjadi aliran Melayu pada tahun 1975, dan seterusnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah menengah.

Dasar Bahasa Kebangsaan ini pula terkandung dalam Perlembagaan Malaysia iaitu :
- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
- Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak 1971)
Antara salah satu sebabnya ialah tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang telah banyak mengorbankan nyawa dan kemusnahan harta benda.

Dasar Pembangunan Nasional

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan dasar ekonomi Malaysia yang digunakan sekarang. Ia merupakan sambungan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1990. Walau bagaimanapun, fokusnya hampir serupa dengan DEB.
Fokus
1. Membasmi golongan miskin
2. Menyusun semula masyarakat
Objektif
1. Memperkukuhkan kestabilan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik melalui pembangunan bandar dan di luar bandar
2. Menjadi negara maju dan mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil dan kecemerlangan ekonomi
Program
1. Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat
2. Memastikan keseimbangan kaum dalam pelbagai aspek
3. Meningkatkan penggunaan sains dan teknologi
4. Menerapkan nilai sosial, kerohanian, dan amalan cintakan alam sekitar
5. Meningkatkan peluang dan kemudahan pendidikan

Dasar Ekonomi Baru

Assalamualaikum dan selamat berjumpa semula....

Apa khabar anda hari ini? Sudahkah anda turut serta mengundi samada PTK perlu diteruskan lagi atau tidak?...Sudahkah anda bersedia untuk terus bersama saya belajar tentang negara kita?...

Hari ini saya akan memulakan tajuk DEB yang mana ianya adalah tajuk yang selalu keluar exam semasa saya di maktab dulu...Saya dapatkan informasi ini daripada Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1970-1990) di Malaysia diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ianya telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:
• mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
• mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN).

[sunting] Sejarah Dasar Ekonomi Baru
DASAR EKONOMI BARU (DEB) (1970–1990)

PENGENALAN

Perlaksanaan dasar “divide and rule” (pecah dan perintah) pemerintahan Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu . Pengelasan kaum merujuk pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada 3 rumpun utama iaitu Bangsa Melayu , [Kaum Cina] [1] dan Kaum India. Melalui dasar ini Orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (Kampung) dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang cina [2] menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mengwujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.

PERISTIWA 13 MEI 1969

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah menyedar dan mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati Bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti Orang Melayu tinggal diluar bandar . Manakala orang Cina [3] pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan orang cina tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan di Tanah Melayu. Timbul kesedaran dikalangan Orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.

Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap Orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.

Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep “Malaysia untuk orang Malaysia” yang yang secara tidak langsung turut mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan oleh Lee Kuan Yew menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda adalah manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.

Parti Perikatan yang menerajui kepimpinan negara mendapat majoriti yang kecil tetapi masih cukup untuk menubuhkan kerajaan. Parti-parti pembangkang pula berjaya menambahkan bilangan kerusi mereka. Manakala di Selangor, berlaku keadaan dimana tidak satu parti pun yang berjaya mencatat kemenangan majoriti bagi menubuhkan sebuah kerajaan. Parti pembangkang telah mengadakan perayaan dan perarakan bagi meraikan kejayaan mereka menambah kerusi telah menghina orang Melayu sewaktu perarakan yang diadakan di Kuala Lumpur. Slogan-slogan yang membangkitkan kemarahan orang Melayu serta kata-kata kesat dan cercaan yang dilemparkan ketika perarakan tersebut mendorong perayaan kemenangan balas oleh parti UMNO. Menurut seorang sarjana, Goh Cheng Teik (1971), “Rusuhan etnik 1969 berlaku kerana perubahan imbangan kuasa antara orang Melayu dengan orang Cina. Andaian yang dipegang selama ini ialah perimbangan kuasa berlaku kerana kuasa politik dipegang oleh orang Melayu dan kuasa ekonomi dipegang oleh orang Cina. Menurut beliau, kemenangan orang Cina yang menganggotai parti pembangkang DAP dan Gerakan telah menyebabkan orang Melayu merasakan bahawa imbangan kuasa mulai memihak kepada orang Cina. Kebimbangan ini diperkuatkan lagi dengan tindak-tanduk penyokong-penyokong Gerakan dan DAP yang terdiri daripada orang-orang Cina yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina kedudukan orang Melayu ”.

TINDAKAN KERAJAAN

Akibat kacau bilau dan pertumpahan darah yang berlaku ketika peristiwa berdarah 13 Mei 1969 telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan atas nasihat Perdana Menteri dengan serta-merta telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Pengisytiharan ini telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 16 Mei 1969. Pengisytiharan ini telah menyebabkan Sistem Kerajaan Berparlimen digantung. Atas perakuan Perdana Menteri, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

MAGERAN berfungsi untuk:
• mengembalikan keamanan dan undang-undang negara;
• menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna;
• mengembalikan suasana harmoni dan kepercayaan antara kaum di seluruh negara.

Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab untuk membincang dan meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum. Majlis Perundingan Negara, mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati masyarakat Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan. Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu Majlis Perundingan Negara telah bersetuju membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip utama iaitu:

• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-Undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Dasar Ekonomi Baru juga dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara sebagai jentera penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Majlis Perundingan Negara juga telah mencadangkan kepada Kerajaan untuk mengwujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk melaksanakan aktiviti berbentuk muhibbah Majlis Muhibah dan Pejabat Muhibah di peringkat pusat, negeri, daerah dan kawasan telah ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibah) 1969 yang telah diwartakan pada 18 Julai 1969.

DASAR EKONOMI BARU (DEB)

Merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di Negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang dengan mengambil kira faktor tersebut.

Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan . Adalah didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Adalah didapati orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:-

• penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
• pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum;

Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah 17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970. Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya:
• Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990;
• Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.
• Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain;
• Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar;

Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, Kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

RUJUKAN
1. Asnarulhadi Abu Samah dan Jayum A. Jaw an 1997. Kenegaraan Malaysia. Universiti Putra Malaysia.DASAR EKONOMI BARU (DEB) (1970–1990)137

2. Lotfi Ismail 1980. Sejarah Malaysia 1400–1963. Utusan Publications & Distributors.

3. Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-Dasar Pembangunan 1982. INTAN.

4. Malaysia Kita: Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan 1991. International Law Book Services

Wednesday, July 16, 2008

Aktiviti Rimup




Selamat bertemu kembali....gambar di atas adalah salah satu aktiviti yang telah dijalankan di sekolah saya iaitu Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan yang telah berjaya mengabungkan beberapa buah sekolah melayu dan cina di daerah saya....

Untuk pengetahuan para pendidik saya juga telah menghantar beberapa dokumen berkaitan dengan PTK di www.scribd.com....anda boleh mendapatkan banyak informasi di sana.
Lawatlah sekerap mungkin kerana banyak paparan menarik untuk anda baca dan buku-buku ilmiah yang boleh membantu kita dalam menjayakan tugas kita sebagai guru.

Sila kelik gambar aktiviti di sebelah kanan atau kelik link berikut http://www.scribd.com/people/view/352447

Semoga apa yang telah dipaparkan hari ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.